Pengenalan
Pengenalan
KOMPLEKS PENDIDIKAN WAN HAMAD (KPWH) diilhamkan oleh Hj. Wan Nor Anas bin Wan Yusoff untuk mewujudkan pusat pengajian yang serba moden untuk memperkasakan pendidikan dalam kalangan warga setempat.
Nama “Wan Hamad” dipilih sempena tokoh agama tempatan, Wan Hamad @ Ahmad bin Wan Samat @ Samat yang merupakan datuk kepada Hj. Wan Nor Anas, yang berjasa mewakafkan tanah yang menjadi tapak Masjid al-Fattah, Kampung Kota dan merupakan pemilik asal tapak bangunan KPWH. Beliau meninggal di Madinah pada musim haji.
Bangunan KPWH yang tersergam indah di Kampung Kota, Kota Bharu ini dibina hasil sumbangan orang ramai bermula pada tahun 2020. Disebabkan musibah pandemik Covid-19 yang melanda dunia, pembinaan terpaksa ditangguhkan beberapa ketika dan hanya berjaya disiapkan pada awal tahun 2025.
Dengan kos serendah RM500,000, bangunan setinggi dua tingkat yang memuatkan sebuah dewan, lima buah bilik kuliah, tiga buah bilik air dengan tiga buah tandas setiap satu ini dimanfaatkan sebagai premis Tadika Islah Al Kutawi dan kelas pengajian utama Maahad Tahfiz Tok Faqih bermula Februari 2025.
Bagi melancarkan urusan pentadbiran dan penjanaan dana, Kompleks Pendidikan Wan Hamad (KPWH) telah didaftarkan sebagai sebuah syarikat pemegang amanah di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada April 2025. Penubuhan ini bertujuan untuk mengendalikan aktiviti perniagaan secara terhad bagi menyokong aspek pengurusan dan pengoperasian kompleks, tanpa berorientasikan keuntungan.
Pada masa ini, KPWH menempatkan dua institusi utama: Tadika Islah Al-Kutawi dan Maahad Tahfiz Tok Faqih. Di samping itu, KPWH turut menganjurkan pelbagai kelas dan program keilmuan terbuka kepada masyarakat umum.
Sebagai langkah pengembangan fungsi dan peranan, KPWH menubuhkan Sekretariat Adu Karyabagi penganjuran sayembara karya kreatif serta berperanan sebagai pusat kajian dan penerbitan kitab-kitab tajwid klasik alam Melayu melalui penubuhan Pusat Kajian Filologi Tajwid Alam Melayu.
Kompleks Pendidikan Wan Hamad Sdn. Bhd. 202501017245 (1618658-W)